Alexander pada sidang media pelancaran di Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
Alexander pada sidang media pelancaran di Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
Suraya Roslan


HARGA siling pelitup muka akan diturunkan sekitar 70 hingga 80 sen sekeping, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya dalam peringkat kajian yang mengambil masa sebulan lagi sebelum memutuskan berhubung harga baharu itu.

"Sekarang kita sudah turunkan harga pelitup muka pada kadar RM1 sekeping bagi tiga lapis dan hari ini anggaplah ia sebagai notis kepada peniaga untuk kita menurunkan lagi harga had siling pelitup muka.

"Anggaran penurunan itu ialah di bawah RM1 dalam lingkungan 70 ke 80 sen... mungkin dalam sebulan lagi (akan umum) kerana kita harus membuat kajian mendalam untuk meletakkan had siling bagi menjaga keadaan di negara kita, " katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke pasar raya besar Mydin sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, KPDNHEP menetapkan harga had siling pelitup muka pada kadar RM1 bermula 15 Ogos lalu.

Terdapat empat jenis pelitup muka yang diwartakan sebagai barangan harga terkawal di bawah Perintah-perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) yang berkuat kuasa 15 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:04 PM