Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan menampal notis penutupan premis di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan menampal notis penutupan premis di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


DUA premis makanan di bandar Kuantan diarah tutup serta merta kerana melanggar syarat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Operasi Pematuhan SOP PKPP bermula jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah RM3,250 atas pelbagai kesalahan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Norkamawati Kamal berkata, antara kesalahan dilakukan ialah tidak mempamer lesen perniagaan, tiada lesen perniagaan, tiada kad kesihatan dan tidak mengambil suntikan pengendali makanan.

Katanya, sebuah lagi premis makanan dikompaun RM1,000 kerana melanggar syarat SOP tidak merekod suhu pelanggan.

"Operasi itu dilakukan untuk memastikan semua premis makanan termasuk pengendali dan pekerja mematuhi syarat SOP PKPB terutama dalam aspek kebersihan dan keselamatan," katanya.

Operasi itu membabitkan 39 kakitangan MPK, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan dan Polis Diraja Malaysia.

Sebanyak 10 premis makanan di bandar ini diperiksa dan dua daripadanya diarah tutup serta merta selama tujuh hari oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan.

Beliau berkata, pihaknya tidak lagi berkompromi terhadap peniaga yang melanggar syarat terutama membabitkan lesen perniagaan yang wajib dipamerkan di premis.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat sekiranya mendapati ada premis yang gagal mematuhi SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 5:21 PM