GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Erika George


POLIS Miri berjaya menyelesaikan kes culik membabitkan lelaki dengan tertangkapnya lima suspek utama, 1 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan, kelima-lima suspek yang berusia 18 hingga 40 tahun ditahan di hotel di pusat bandar.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai digunakan suspek untuk menculik mangsa turut dirampas, katanya.

Lim berkata, siasatan awal mendapati penculikan itu berkaitan dengan motif perniagaan.

Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan berhubung insiden yang turut mendatangkan kecederaan buat mangsa.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes penculikan ini yang berlaku semalam," tambahnya.

Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik.

Dalam kejadian i hadapan kedai makan di Jalan Bintang Jaya 2 pada 4 petang semalam, suspek menghumban mangsa ke dalam MPV sebelum membawanya lari.

Mangsa ditemui semula pada 7 petang dan ditinggalkan di hadapan bank di pusat bandar.

Kejadian itu dirakam orang awam yang turut berada berdekatan sebelum rakaman 18 minit itu tular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 12:13 PM