Pengerusi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia Anthony Loke
Pengerusi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia Anthony Loke
BERNAMA

KAUKUS Ahli Parlimen Reformasi Sistem Pilihan Raya ditubuhkan secara rasmi hari ini dengan tujuan utama bagi mencari jalan menghentikan amalan lompat parti dalam kalangan ahli politik.

Pengerusi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia Anthony Loke berkata, IPU Malaysia dalam mesyuarat hari ini turut sebulat suara bersetuju mencadangkan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai pengerusi kaukus berkenaan.

Menurutnya, kaukus bipartisan itu akan diwakili wakil daripada setiap parti politik dalam negara dengan tugas pertama mereka menyiapkan laporan mengenai mekanisme bagi reformasi sistem pilihan raya negara dalam tempoh enam bulan untuk dibentang kepada kerajaan.

"Kita yakin bahawa Nazri sebagai seorang Ahli Parlimen senior dan bekas menteri, adalah seorang yang sangat disanjungi dan dihormati di dalam Dewan dan beliau orang paling sesuai mengetuai kaukus ini," katanya pada sidang media bersama Mohamed Nazri di Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Nazri menyifatkan tindakan lompat parti sebagai satu perbuatan paling hina yang menyebabkan negara menjadi tidak stabil.

"Ini masalah kita hadapi lebih 30 tahun dah …ada (langkah) yang dah diambil…undang-undang antilompat parti, tapi seperti yang kita tahu, mahkamah paling tertinggi sekali sudah putuskan undang-undang antilompat parti tidak boleh dikuatkuasakan kerana ia menghalang hak asasi manusia dan Ahli Parlimen dan ahli dewan (undangan) negeri.

"Jadi, kita perlu lakukan sesuatu, kita kena fikir ini semua yang berlaku ialah perbuatan manusia, akta, perlembagaan, jadi kita boleh gunakan pemikiran kita untuk hentikan perkara ini. Kita perlu hentikannya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pakar perlembagaan, badan bukan kerajaan, Majlis Peguam dan ahli akademik untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Kita akan lakukan yang terbaik untuk merumuskan sesuatu yang kemudiannya kita terpaksa berurusan dengan kerajaan juga, kita akan berjumpa dengan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri) Parlimen dan Undang-Undang) (Datuk) Takiyuddin (Hassan), kita akan berurusan dengan beliau untuk membolehkan supaya satu pindaan pada Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dapat dibuat.

"(dari segi) Perlembagaan, kita dah beri maklum kepada urusetia supaya berurusan dengan Pejabat Peguam Negara untuk lihat kalau ada apa-apa yang kita nak pinda ini bertentangan dengan perlembagaan, ini tindakan pertama kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 7:42 PM