AZHAR AZIZAN
AZHAR AZIZAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SESI undian belah bahagi untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 hari ini bertukar gamat apabila Speaker tiba-tiba 'keluar' dari Dewan Rakyat.

Tindakan Datuk Azhar Azizan @ Harun mengundang kecoh khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang bangkit mempersoalkan kewajaran itu.

"Seperti petua yang saya berikan 11 Ogos, saya tempohkan mesyuarat dewan selama 10 minit," kata Azhar sebelum melangkah keluar dari Dewan Rakyat.

Antara yang bangun mempersoalkan 'penangguhan' itu adalah Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), Khalid Samad (PH-Shah Alam) dan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh).

"Orang tak cukup ke? kenapa tangguh? mana boleh tangguh dewan," antara persoalan yang dibangkitkan pembangkang.

Namun, selepas 10 minit, Azhar kembali semula ke dalam Dewan Rakyat sebelum undian belah bahagi dimulakan.

Undi belah bahagi perlu dibuat bagi meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 selepas 15 Ahli Parlimen bangun selepas bacaan kali kedua.

"Oleh sebab lebih 15 orang bangun untuk meminta dibuat belah bahagian, maka mengikut Peraturan Mesyuarat 46 (4), saya memerintahkan satu belah bahagian diadakan sekarang," katanya.

Loceng Dewan Rakyat kemudiannya dibunyikan selama dua minit bagi memberi peringatan kepada Ahli Parlimen di luar dewan masuk bagi membolehkan undian dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 4:45 PM