Asrol Awang


KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan melancarkan modul kemahiran keibubapaan siber bagi mengawasi penggunaan peranti dalam kalangan anak-anak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, modul yang dibangunkan Cyber Sekuriti Malaysia itu bagi memastikan teknologi digital digunakan secara selamat dengan pengawasan ibu bapa.

Katanya, sebelum ini kerajaan mengajak seluruh masyarakat menggunakan teknologi digital dengan segala bentuk peranti terutama telefon pintar tetapi soal keselamatan siber jarang dibincangkan.

"Pengenalan modul ini lebih kepada bagaimana ibu bapa mendidik anak dan mengawasi perkembangan mereka yang menggunakan teknologi digital dan peranti.

"Bukan sekadar memberikan telefon kepada anak-anak tetapi kaedah pengawasan yang perlu diberikan penekanan.

"Pelancaran modul itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Kuantan, hari ini.

Karnival dua hari itu bertujuan menyediakan peluang kepada pelajar dan belia di Indera Mahkota mempelajari pelbagai kemahiran asas berkaitan internet dan robotik.

Mengulas Akta Anti Buli Siber, Saifuddin berkata, kerajaan mengambil kira desakan Ahli Parlimen supaya akta itu diwujudkan bagi menjamin keselamatan pengguna siber.

Katanya, setakat ini, kajian sedang dijalankan oleh Universiti Multimedia (MMU) dan draf pertama akta berkenaan dijangka dibentangkan pada hujung tahun ini.

"Pada Sidang Parlimen, saya ada sebut mengenai Akta Anti Buli Siber dan beberapa Ahli Parlimen mendesak supaya diadakan akta berkenaan.

"Kajian sedang dibuat dan kita harap draf pertama akta itu akan dibentangkan hujung tahun ini," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media Majlis Pelancaran Saluran Komuniti IM dan Perasmian Penutup Karnival Digital IM di Dewan Atabara Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media Majlis Pelancaran Saluran Komuniti IM dan Perasmian Penutup Karnival Digital IM di Dewan Atabara Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 4:53 PM