Zuliaty Zulkiffli


PUSAT hiburan di Jalan Bunga Raya, Kuah, Langkawi diserbu polis semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam serbuan Ops Hiburan bermula 2 pagi itu, terdapat 29 pelanggan termasuk seorang pemilik premis hiburan itu sedang berhibur tanpa menyedari kehadiran polis.

Hasil tinjauan mendapati, pintu di bahagian depan premis itu tertutup rapat seolah-olah tidak beroperasi dan pelanggan hanya dibenarkan masuk melalui pintu belakang.

Pintu itu akan dikunci selepas pelanggan masuk dan dibuka semula untuk pelanggan seterusnya masuk bagi mengelak dikesan polis.

Wartawan yang turut menyertai operasi itu mendapati terdapat beberapa kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di luar premis berkenaan yang berfungsi untuk memantau kehadiran pihak berkuasa.

Berikutan itu, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi yang diketuai Asisten Superintendan Meor Hishamudin Al Hafiz berjaya mengepung di tingkat bawah premis bangunan dua tingkat itu ketika serbuan dilakukan.

Malah, ketika itu, terdapat beberapa wanita dan lelaki berusia antara 16 hingga 40-an yang berada dalam premis itu langsung tidak sedar polis tiba sehingga lampu dibuka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Roszemi Mat Derus berkata, pihaknya menahan 29 individu terbabit untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, ini memandangkan aktiviti pusat hiburan masih belum dibenarkan beroperasi di pulau itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua mereka berkumpul dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka.

"Dalam keadaan penularan wabak Covid-19 yang membimbangkan sekarang ini, tindakan mereka itu boleh mengundang masalah kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan.

"Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui, semalam.

Roszemi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis methapetamine dan ganja.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SEBAHAGIAN pelanggan berada dalam pusat hiburan yang diserbu anggota polis dari BSJN IPD Langkawi, semalam kerana ingkar PKPP. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
SEBAHAGIAN pelanggan berada dalam pusat hiburan yang diserbu anggota polis dari BSJN IPD Langkawi, semalam kerana ingkar PKPP. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

"Selain itu, 29 individu itu disiasat mengikut Seksyen 3(7) PKPP 2020 kerana ingkar PKPP.

"Mereka dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan itu dan direman untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 11:40 AM