KAMARUDIN (dua dari kanan) bergambar bersama peserta latihan jahitan di Parlimen Bandar Tun Razak. FOTO Muhammad Saufi Hassan
KAMARUDIN (dua dari kanan) bergambar bersama peserta latihan jahitan di Parlimen Bandar Tun Razak. FOTO Muhammad Saufi Hassan
Muhammad Saufi Hassan


SERAMAI 30 peserta dipilih mengikuti latihan dalam bidang jahitan di Parlimen Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dalam usaha membantu golongan terjejas menjana pendapatan sampingan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, ia adalah inisiatif Parlimen Bandar Tun Razak untuk menyantuni golongan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

"Bagi program ini, kita meletakkan harapan supaya peserta dapat menambah set kemahiran dan mungkin boleh digunakan untuk menjana pendapatan sampingan pada waktu ini.

"Peserta akan dilatih oleh guru jahitan yang berpengalaman dan antara latihan yang diberikan ialah membuat pelitup muka, sejadah mini dan beberapa barangan yang sering digunakan masyarakat.

"Kita sudah menyediakan 30 mesin jahit dan saya mengharapkan inisiatif ini mampu mengurangkan beban kewangan dengan kemahiran baharu yang diajar," katanya.

Kamarudin berkata, bengkel berkenaan tidak terhad untuk kursus kemahiran jahitan saja malah pihaknya sedang merancang beberapa kelas lain seperti pembuatan pastri.

"Saya amat memahami beban kewangan perlu ditanggung untuk hidup di bandar raya.

"Sebab itu, saya merancang untuk melaksanakan lebih banyak program untuk mengurangkan tekanan membabitkan individu terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 8:18 PM