GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


BAYI perempuan berusia 10 bulan meninggal dunia semalam selepas empat hari dirawat di hospital swasta kerana tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh di Bandar Puchong Jaya, Serdang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pada jam 12 tengah hari Selasa lalu, ibu mangsa dihubungi pengasuh berumur 40-an memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital.

Menurutnya, pemeriksaan awal doktor mendapati mangsa mengalami pendarahan di kepala.

"Mangsa bergantung pada mesin bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia pada 3.19 petang semalam di Hospital Sunway," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Serdang pada 1.40 tengah hari ini mendapati punca kematian adalah pendarahan di kepala kesan jatuh dari tempat yang tinggi.

"Pemeriksaan lanjut tidak terdapat sebarang unsur penderaan berlaku terhadap mangsa.

"Mangsa didapati terjatuh dua kali di rumahnya dan rumah pengasuh," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada unsur dera namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 6:51 PM