NURUL Fariha yang menghidap Sindrom Alagille dan Ridzuan selepas menjalani pembedahan pemindahan hati. FOTO Ihsan Nurul Farahiyah.
NURUL Fariha yang menghidap Sindrom Alagille dan Ridzuan selepas menjalani pembedahan pemindahan hati. FOTO Ihsan Nurul Farahiyah.
Redzuan Muharam


PASANGAN suami isteri dari Beserah, Kuantan kini buntu memikirkan cara mendapatkan wang berjumlah RM14,000 bagi membiayai kos ubat khas pembedahan pemindahan organ, Basiliximab untuk anak bongsu mereka yang menghidap Sindrom Alagille atau hati kronik.

Kanak-kanak itu, Nurul Fariha Alisha Ridzuan, 5, sudah menjalani pembedahan pemindahan hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, 12 Ogos lalu, dan bapanya sendiri, Ridzuan Hashim, 48, menjadi penderma.

Lebih menyukarkan Ridzuan yang juga peniaga runcit tidak dapat berniaga ketika ini kerana pembedahan berkenaan.

Sementara, isterinya, Che Jinbah Che Awang, 44 hanya seorang suri rumah dan kini menjaga suami yang masih mendapat rawatan di wad Menara Utama dan Nurul Fariha pula di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) PPUM.

Bercerita lanjut, Ridzuan berkata, Nurul Fariha, disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Namun, katanya, simptom awal penyakit berkenaan disedarinya dan isteri ketika Nurul Fariha berumur enam bulan lagi.

"Ketika itu, kami mengesyaki ada sesuatu yang pelik pada jantungnya dan bagi mendapatkan kepastian, kami membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan ,Pahang untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

"Anak saya kemudiannya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pernah menjalani pembedahan kasai kerana pada awalnya disyaki menghidap Biliary Atresia (BA).

"Namun, hasil pembedahan mendapati dia bukan menghidap BA sebaliknya Sindrom Alagille dan keputusan diperoleh selepas menghantar sampel darah di Amerika Syarikat (AS)," katanya ketika ditemui Harian Metro di PPUM, hari ini.

Ridzuan berkata, penyakit itu menyebabkan kulit dan mata anaknya berwarna kuning.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Nurul Fariha berasa kurang keyakinan kerana melihat keadaan dirinya yang berbeza dengan individu lain.

Beliau berkata, menurut doktor, penyakit itu kemungkinan menyebabkan hatinya beransur rosak dan tumbesarannya perlahan.

"Disebabkan itu, doktor mengesyorkan pembedahan hati dijalankan segera. Sebenarnya anak sulung (Nurul Farahiyah Amalina, 27) dan isteri berhasrat untuk menderma tetapi saya terpilih kerana mempunyai jenis darah sama dengan Nurul Fariha.

"Gementar juga untuk menjalani pembedahan ini tetapi demi saya lakukannya, lagipun ia pernah ditangguhkan sebelum ini kerana Covid-19," katanya yang dijangka keluar wad hari ini.

Sementara itu, Che Jinbah berkata, dia tidak sanggup melihat Nurul Fariha terus menderita akibat penyakit berkenaan.

Lebih menyedihkannya apabila hanya dapat melihat Nurul Fariha dari cermin kaca memandangkan keadaan anaknya yang tidak boleh menerima pelawat ketika ini.

"Dia kelihatan seperti budak biasa tetapi hakikatnya tidak. Malah, dia pernah bertanya kenapa mengapa matanya berwarna kuning, tidak seperti orang lain.

"Sebagai ibu, tentunya saya sedih dan tidak sanggup melihat dia berterusan begitu. Saya juga tidak kuat dan pasti akan menangis kerana tidak dapat berada disisinya di dalam wad sebaliknya hanya dapat melihat menerusi cermin kaca," katanya yang menetap di Beserah, Kuantan, Pahang.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Che Jinbah di talian 019-9776776 atau anak sulungnya, Nurul Farahiyah di nombor 017-9109392.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 6:33 PM