Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan empat individu termasuk seorang lelaki Bangladesh selepas dipercayai terbabit memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di kilang perabot di Kawasan Perindustrian Tebrau, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Dato' Onn melakukan pemeriksaan di kilang itu pada 2.07 petang selepas menerima laporan awam.

Katanya, pemeriksaan mengesahkan laporan itu dan empat individu berusia 23 hingga 56 tahun diberkas iaitu pengurus kilang, pegawai sumber manusia, kerani logistik dan warga Bangladesh yang ditugaskan memasang bendera berkenaan.

"Kesemua suspek diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang alasan atas tindakan berkenaan dan tindakan bukan hanya ke atas orang yang memasang bendera bahkan pemilik premis juga.

"Malaysia sudah merdeka 63 tahun, namun masih ada lagi yang memasang bendera terbalik. Tidak ada tolak ansur. Selepas ini kalau ada lagi, kita (polis) tangkap semua yang bertanggungjawab," katanya.

Ayob Khan berkata, alasan biasa pemilik premis adalah bendera dipasang warga asing, namun beliau menegaskan sebagai rakyat Malaysia, pemilik premis perlu lebih prihatin dan memeriksa selepas pemasangan dibuat.

AYOB Khan (kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad menunjukkan gambar individu ditahan kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik. FOTO Zain Ahmed.
AYOB Khan (kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad menunjukkan gambar individu ditahan kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik. FOTO Zain Ahmed.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara itu dan bersama menjaga kedaulatan negara. Orang ramai juga boleh menyalur maklumat berkaitan kepada Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254 074.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 11:28 AM