Mohamed Farid Noh


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sedang melakukan siasatan dalaman berhubung aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri ini.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, siasatan akan menumpukan sama ada terdapat pembabitan anggotanya yang melindungi aktiviti pemburuan haram berkenaan.

"Saya menjunjung kasih dan mengambil maklum titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang murka dengan aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar negeri ini.

"Perhilitan Johor sedang melakukan siasatan dalaman berhubung insiden ini.

"Perhilitan Johor akan bekerjasama sepenuhnya dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam mengesan dalang aktiviti pemburuan haram ini.

"Laporan polis akan dibuat segera jika kami menemui sebarang petunjuk dan kesan mengenai insiden pemburuan haram ini, " katanya ketika dihubungi.

Semalam, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan murka dengan aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan hutan di sekitar Johor.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun Facebook baginda, dilaporkan bertitah sungguh pun sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan isu pemburuan haram, baginda berasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan yang dilakukan.

Baginda turut dilaporkan menerima maklumat berserta beberapa gambar mengenai satu aktiviti pemburuan haram berskala besar yang dilakukan malam kelmarin.

"Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi (kelmarin).

"Semua pemburu ini juga dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri," titah baginda.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi pula memaklumkan akan mengadakan sidang media jam 4 petang ini bagi mengulas mengenai isu pemburu haram ini.

Berita berkaitan

Sultan Johor murka kegiatan pemburu haram

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 10:50 AM