Zuliaty Zulkiffli


"TUMPHI (kambing betina) kelihatan sedih dan kerap mengembek selepas anaknya mati sejurus dilahirkan petang semalam.

"Lebih menyedihkan apabila anak kambing itu dilahirkan dalam keadaan cacat dengan hanya bermata satu tanpa hidung," kata Azlina Aziz, 56.

Menurut Azlina, Tumphi sempat melihat anaknya beberapa jam sebelum bangkai kambing seberat lebih satu kilogram itu dikebumikan pada 10 malam tadi.

Katanya, dia dan suaminya, Mahadzir Ahmad, 62, memelihara Tumphi dan kembarnya, Tumphu sejak setahun lalu, namun mengakui paling jinak adalah Tumphi.

"Tumphi tidak suka duduk dalam kandang bersama 25 kambing peliharaan lain termasuk kembarnya, tapi lebih gemar bermain di halaman rumah kami dan tidur di sini.

"Selain bermanja dengan kami, ia berkawan dengan kucing yang dinamakan Achik dan ayam betina bernama Cik Yam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Cherok, Changlun, hari ini.

Azlina berkata, memelihara kambing betina itu tidak susah kerana ia makan apa saja yang dihidang termasuk minum kopi ais, jagung dan turut menggemari lebihan kuih raya.

Katanya, ada individu berniat membeli Tumphi, tetapi ia tidak dijual berikutan kambing itu sangat istimewa, manja dan mendengar cakap apabila namanya dipanggil.

"Tumphi melahirkan anaknya pada 2.40 petang semalam sebelum anaknya mati dan ia kelihatan sangat sedih.

"Kami memuat naik gambar dan video kematian anak kambing bermata satu tanpa hidung itu di Facebook dan tak sangka ramai datang untuk menyaksikan sendiri anak kambing unik itu.

"Mungkin ada hikmah Allah nak tunjuk di sebalik kematian anak kambing itu," katanya.

AZLINA menunjukkan gambar anak kambing yang dilahirkan Tumphi namun mati sejurus dilahirkan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
AZLINA menunjukkan gambar anak kambing yang dilahirkan Tumphi namun mati sejurus dilahirkan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 3:43 PM