Kamal Affandi Hashim.
Kamal Affandi Hashim.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam


WUJUD isu lebih serius selain ketiadaan pasport dan permit kerja sah. Ia berikutan ramai pengawal keselamatan haram dikesan menghidap penyakit mental skizofrenia, kusta, tuberkulosis (tibi) dan Hepatitis B.

Penyakit dibawa dari negara asal ini jelas satu ancaman yang boleh membahayakan kesihatan rakyat tempatan yang berurusan dengan golongan terbabit.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, ada pengawal keselamatan haram ini tidak layak bekerja berikutan mempunyai simptom penyakit mental skizofrenia, bipolar dan kemurungan.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan golongan itu menghadapi kecelaruan dan emosi tidak stabil yang menyumbang kepada tindakan agresif serta jenayah.

"Ini mendorong berlakunya pergaduhan sesama rakan setugas, tindakan ganas hingga membawa kepada kes bunuh berpunca perselisihan kecil.

"Malah, ada warga asing ini menghidap penyakit berjangkit Hepatitis B yang boleh disebarkan kepada individu lain.

"Jelas sekali, golongan ini tidak pernah menjalani saringan kesihatan Bio-Medical dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) yang diwajibkan. Mereka ini tidak layak bekerja di negara ini kerana menjadi ancaman.

"Selain itu, ada kemungkinan pengawal keselamatan asing yang diambil ini mempunyai rekod jenayah tidak diketahui di negara asal," katanya.

Menurutnya, mana-mana majikan yang mengambil warga asing selain warga Nepal untuk mengisi kekosongan jawatan adalah satu kesalahan serius.

"Mengikut polisi kerajaan, tiada warga asing boleh diambil bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini melainkan dia adalah bekas tentera dari Nepal.

"Namun, sebaliknya berlaku apabila terdapat syarikat yang mengambil warga asing tanpa mengikut peraturan. Ini berkemungkinan memudahkan mereka mengelak daripada membayar gaji.

"Masalah ini terjadi apabila pemilik syarikat keselamatan mempunyai lesen, tetapi membuka anak syarikat atau subsidiari di luar kawasan yang mengambil kakitangan warga asing," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Kamal Affandi, ada juga kemungkinan warga asing terbabit melakukan pekerjaan lain sebelum itu dan kemudiannya menjadi pengawal keselamatan kerana dibuang kerja.

"Isu ini sudah lama dan jika dilihat, ada dalam kalangan pengawal keselamatan warga asing memakai seragam, tetapi tiada lencana atau logo syarikat.

"Sedangkan, setiap pengawal keselamatan yang mendaftar sebagai ahli perlu memakai seragam dengan lencana tertera nama syarikat berdaftar.

"Justeru, pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan dan bukan saja ahli, tetapi orang awam juga boleh menyalurkan maklumat bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 9:00 AM