BERITA palsu mengenai larangan murid ke sekolah tidak benar di Kampung Indah, Bahau.
BERITA palsu mengenai larangan murid ke sekolah tidak benar di Kampung Indah, Bahau.
Abnor Hamizam Abd Manap


ORANG ramai diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes Covid-19 di Kampung Indah, Bahau yang melarang murid dan pelajar ke sekolah.

Pengerusi Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pihak menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan situasi panik dalam kalangan orang ramai itu amat dikesali.

"Tiada sebarang arahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri mengenai arahan supaya murid dan pelajar tidak perlu pergi ke sekolah.

"Tindakan undang-undang akan diambil kepada sesiapa yang menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan panik masyarakat," katanya hari ini.

Terdahulu Kok Seong yang meninjau kampung berkenaan mendapati situasi dalam keadaan terkawal malah penduduk menjalani kehidupan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, beliau sendiri menerima maklumat palsu menerusi apslikasi Whatsapp yang kononnya ada dua murid sekolah positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Kok Seong berkata satu kes positif yang dicatatkan di daerah ini semalam membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan Jabatan Kesihatan dan kontak rapat pesakit juga sudah menjalani saringan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:44 PM