GAMBAR HIASAN. FOTO arkib NSTP
GAMBAR HIASAN. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau penjualan pelitup muka apabila harga barunya diumumkan kelak.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi harga baru pelitup muka itu.

"Mereka yang didapati sengaja menjual pelitup muka pada harga lebih mahal akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011.

"Pada masa sama, pegawai penguat kuasa turut memantau penjualan pelitup muka secara dalam talian bagi memastikan peniaga terbabit menjual mengikut harga ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, KPDNHEP memberi jaminan bahawa harga siling pelitup muka yang kini ditetapkan pada harga RM1.20 akan dikurangkan lagi dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dipetik berkata, KPDNHEP sudah menyemak dan membuat penentuan semula harga siling pelitup muka tiga lapisan.

Sebelum ini, KPDNHEP mengumumkan pelitup muka dijual pada harga RM1.20 seunit mulai 15 Ogos ini.

KPDNHEP berkemungkinan besar akan menurunkan harga pelitup muka tiga lapis kepada harga lebih rendah selepas mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 2:59 PM