Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


KERAJAAN akan mengumumkan penurunan harga siling pelitup muka lebih rendah daripada RM1.20, dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, sebelum ini harga siling pelitup muka dicadang dikurangkan 30 sen daripada RM1.50.

"Memandangkan maklum balas daripada awam termasuk Yang Berhormat, kami sudah berbincang, mungkin kita akan turun lagi di bawah RM1.20 kerana kita prihatin dan kita sensitif (terhadap kebajikan rakyat)... tak ada masalah.

"Kita akan turunkan daripada apa yang kita cadangkan pada RM1.20. Dalam dua tiga hari ini kami buat keputusan," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Thiong (PH-Kota Melaka) yang bertanya usaha kerajaan untuk membantu golongan memerlukan ketika pasca Covid-19.

Terdahulu, menjawab soalan asal soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) mengenai tujuan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga dan kaedah penyampaian program itu kepada rakyat serta sejauh mana membantu penduduk di kawasan pedalaman, Alexander berkata, inisiatif itu dirangka khusus menangani masalah kenaikan harga.

Katanya, kerajaan melantik 163 syarikat yang bertanggungjawab mendapatkan bekalan sebelum menghantar ke tempat jualan di kawasan pedalaman.

"Terdapat tujuh jenis bekalan makanan asas yang dihantar menerusi program ini iaitu beras, gula putih bertapis kasar, minyak masak, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON 95 dan diesel," katanya.

ORANG ramai diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak pada 1 1 Ogos lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ORANG ramai diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak pada 1 1 Ogos lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Berita berkaitan:

  • Harga pelitup muka turun 30 sen [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:53 AM