GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TEKANAN akibat hilang pekerjaan dan punca pendapatan, seorang bekas juruterbang maut selepas bertindak terjun dari unit kondominiumnya di Puchong, dekat Serdang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 3.10 petang.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai terjun dari rumahnya di tingkat 12 di sebuah kondominium di Bandar Kinrara.

"Pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian tidak menemui kesan mencurigakan atau unsur jenayah, pemeriksaan fizikal pada mayat juga tiada menemui kecederaan akibat perbuatan jenayah," katanya.

Ismadi berkata, menurut saksi mangsa yang bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat tempatan dan diberhentikan kerja dua bulan lalu.

"Mangsa dipercayai dalam keadaan tidak dapat mengawal diri bertindak terjun dari rumahnya.

"Proses bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan akibat jatuh dari bangunan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang diteruskan dan pihak polis meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan dan mengguris hati keluarga.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:35 AM