KEADAAN Proton Wira dinaiki tiga beranak yang remuk. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN Proton Wira dinaiki tiga beranak yang remuk. FOTO Ihsan Pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


TINDAKAN pekerja kedai cuci kereta yang gagal mengawal lori ketika mengundur menyebabkan seorang kanak-kanak parah, manakala ibu dan adiknya cedera ringan di Jalan Kampung Teluk Rhu, Sungai Air Tawar, di Sabak Bernam, semalam.

Kejadian pada 3.45 petang itu berlaku apabila pekerja cuci kereta berusia 22 tahun gagal mengawal lori yang selesai dicuci ketika mengundur dan terlajak hingga ke jalan utama.

Akibat, kereta Proton Wira yang dipandu wanita berusia 24 tahun, bersama mangsa, 4 dan adik perempuannya berusia dua tahun tidak sempat mengelak dan melanggar belakang lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kemalangan berlaku ketika Proton Wira dari arah Sungai Lang menuju ke Bagan Nakhoda Omar (BNO).

"Tiba di lokasi, pengadu (pekerja cuci kereta) sedang mengundurkan lori yang selesai dicuci namun gagal mengawal kenderaan itu dan terlajak hingga melepasi jalan utama.

"Pada masa sama, kereta dinaiki tiga beranak itu tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat," katanya hari ini.

Agus Salim berkata, kanak-kanak lelaki luka pada badan, patah tangan dan mengalami pendarahan dalaman.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan.

"Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki dirujuk ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut kerana kecederaan serius di kepala dan tidak sedarkan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:26 AM