Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KERAJAAN bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tiga bulan lagi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, semua peminjam akan mendapat penangguhan itu bermula 1 Oktober hingga 31 Disember dengan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta.

Katanya, jumlah keseluruhan penangguhan bayaran balik dianggarkan RM1.13 bilion yang menjadi sebahagian langkah dalam Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

"Semua peminjam PTPTN akan diberikan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

"Jika terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang disediakan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Noraini berkata, kerajaan prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan dihadapi peminjam yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pengumuman itu diharap meringankan beban ditanggung dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Careline PTPTN di 03-21933000 dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang atau melayari laman web www.ptptn.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 5:27 PM