Amir Abd Hamid

DEWAN Rakyat hari ini dimaklumkan ada beberapa faktor menyebabkan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen yang dijadualkan 6 Ogos ditunda kepada awal 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara sebabnya ialah faktor kesan pandemik Covid-19 selain kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru ditubuhkan.

"Kerajaan PN baru ditubuhkan Mac 2020, Perdana Menteri baharu, Menteri pun ada yang baharu, beberapa kementerian disusun semula.

"Wawasan PN pun berbeza daripada kerajaan terdahulu. (Jadi) Beberapa dasar dan pendekatan menguruskan ekonomi perlu dikaji semula untuk menangani isi-isu ekonomi semasa," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PN-Port Dickson) yang bertanya sebab pembentangan RMK-12 ditangguhkan selain daripada faktor penularan Covid-19.

Mustapa berkata, seharusnya persoalan itu tidak menjadi isu kerana ia sebelum ini sudah diterangkan dan dijawab Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan Anwar akan diberi masa dan ruang untuk berbahas mengenai RMK-12 apabila perkara itu dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.

PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen dijadualkan 6 Ogos ditunda kepada awal 2021. FOTO BERNAMA
PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen dijadualkan 6 Ogos ditunda kepada awal 2021. FOTO BERNAMA

"Isu tidak timbul, kita membincangkan mengenai RMK-12, mungkin Port Dickson keliru sikit. RMK-12 akan dibentang pada awal tahun depan dan ada ruang buat Port Dickson untuk membahaskan.

"Bukan perkara luar biasa, lagi pun belum 2021, RMK-12 bermula pada 2021, kalau bentang pada Ogos, belum sampai masanya lagi, (jadi_ masalah perbahasan tak akan timbul," katanya.

Mustapa berkata, penangguhan pembentangan itu juga masih mengekalkan teras sama, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau WKB 2030 yang dilancarkan pada Oktober 2019 oleh Perdana Menteri terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai libat urus pelbagai kementerian dan pakar dalam merangka RMK-12 yang dikatakan sudah tamat, Mustapha menafikan perkara itu.

Katanya proses libat urus masih berjalan dan ketika ini sudah membabitkan agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri selain beberapa Ahli Parlimen.

"Selain itu libat urus membabitkan badan pemikir, (dan) perkara ini perlu dilihat semula. Terima kasih kepada tokoh-tokoh yang kita temui.

"Dan terima kasih kepada Yang Berhormat yang terbabit dalam libat urus ini kerana masa masih ada lagi (waktu) walaupun dah tak lama, tetapi yang penting kita mendengar dan mengambil kira khususnya pendapatan garis kemiskinan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 2:47 PM