FERI yang ditahan. FOTO Ihsan APMM.
FERI yang ditahan. FOTO Ihsan APMM.
Norzamira Che Noh


DUA feri penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor selepas didapati membawa penumpang melebihi had dibenarkan.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, feri berkenaan dikesan pada jarak 0.5 batu nautika dari Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang petang kelmarin.

"Feri penumpang yang dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang itu ditahan antara jam 5 hingga 6 petang bagi pemeriksaan rutin.

"Hasil pemeriksaan mendapati, satu daripada feri membawa 119 penumpang serta tiga kru manakala sebuah lagi membawa 124 penumpang dan tiga kru.

"Kedua-dua bot itu didapati melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang disyaratkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut syarat sah lesen, feri berkenaan boleh membawa 80 penumpang dan empat kru sahaja.

Katanya, kedua-dua feri itu juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal pengoperasian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti yang diwartakan.

Katanya, dua feri berserta enam orang kru warga tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

"Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan terutamanya tindakan yang boleh menjejaskan aspek keselamatan walaupun ia dipandang remeh oleh pengendali bot.

"Malah kami tetap bertegas menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan keselamatan nyawa di laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 11:52 AM