GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


TERTEKAN kerana disahkan menghidap kanser usus dipercayai punca wanita bertindak terjun dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, wanita berusia 45 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan parah di kepala.

Katanya, berdasarkan laporan, wanita yang bekerja sebagai kerani itu memasuki pusat beli-belah terbabit dengan memandu sebuah kereta sebelum diparkir di aras lima bangunan pada 9.34 pagi.

"Pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan kaki di aras tujuh kawasan parkir dengan menggalas sebuah beg dengan memanjat dinding penghadang.

"Mangsa kemudian dilihat meniti di atas penghadang menuju ke hujung bangunan dipercayai untuk terjun.

"Pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan mayat wanita itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suami mangsa memaklumkan isterinya pernah menghidap kanser usus pada 2016 dan dikatakan sembuh sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sekali lagi dikesan menghidap kanser usus pada Mac lalu dan sedang dalam rawatan kimoterapi.

"Pada 5.30 petang semalam, suami mangsa membawa isterinya untuk mendapatkan rawatan di HTAA kerana dikatakan tertekan dan tidak dapat tidur kesan penyakit yang dihadapi.

"Pegawai perubatan yang merawat juga menasihatkan mangsa supaya ditahan di wad, tetapi mangsa enggan dan meminta untuk dibekalkan ubatan sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 6:27 PM