MOHAMAD Noor Yusof Ali memberi penerangan kepada orang ramai untuk mematuhi pemakaian pelitup muka. FOTO ihsan polis
MOHAMAD Noor Yusof Ali memberi penerangan kepada orang ramai untuk mematuhi pemakaian pelitup muka. FOTO ihsan polis
Asrol Awang


SERAMAI 17 individu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka dalam operasi khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuantan, semalam.

Operasi selama dua jam bermula 4 petang itu diketuai Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali bersama 56 pegawai dan anggota yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad Noor berkata, operasi itu membabitkan empat lokasi tumpuan iaitu Terminal Sentral Kuantan (TSK), East Coast Mall Kuantan, Teluk Cempedak dan sekitar bandar Kuantan.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap 189 individu, masing-masing 116 lelaki dan 73 wanita.

"Daripada jumlah itu, seramai 17 individu terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita diambil tindakan kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

"Tindakan kompaun dikeluarkan kerana kegagalan mematuhi SOP mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan (No. 7) 2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan masyarakat dilihat memahami dan mematuhi arahan dan SOP PKPP termasuk arahan pemakaian pelitup muka berkuatkuasa, hari ini.

"Peratusan pematuhan SOP dianggarkan pada tahap 96 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 10:03 AM