FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Maiamalina Mohamed Amin


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menafikan sut peralatan perlindungan diri (PPE) tidak mencukupi di Sarawak.

"Ketika wabak Covid-19 meningkat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua, ketiga dan keempat memang berlaku kekurangan PPE.

"Tapi sekarang di Sarawak, ia lebih daripada cukup," katanya menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang mendakwa bekalan PPE tidak mencukupi hingga pihak hospital terpaksa meminta derma awam untuk mendapatkan kelengkapan itu.

Dr Adham memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan mendapatkan bekalan PPE dari seluruh dunia ketika tempoh kritikal Covid-19 yang lalu, sebelum bekalan tempatan mencukupi.

Katanya, kementerian juga sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan bagi mengawal penularan wabak di semua peringkat.

Mengenai kluster Sentosa di Kuching, katanya, petugas kesihatan melakukan pengesanan aktif serta kontak rapat dan setakat 18 Julai hingga semalam, seramai 680 individu dikesan sebagai kontak kluster dengan 21 kes positif, 587 kes negatif, manakala 72 masih menunggu keputusan ujian saringan.

"Daripada 21 kes positif, 16 kes adalah dalam kalangan anggota Kementerian Kesihatan (KKM), dua anggota perkhidmatan sokongan daripada syarikat yang mengurus kemudahan di hospital itu, satu pesakit dan dua lagi kontak rapat atau ahli keluarga kepada kes positif," katanya.

Sementara itu, Timbalannya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, KKM melaksana perolehan secara darurat bagi memastikan keperluan petugas barisan hadapan mencukupi sejak bermulanya penularan Covid-19, Januari lalu.

Beliau berkata, kementerian menggunakan garis panduan dan prosedur di bawah Pelan Perbendaharaan 3.3 iaitu Garis Panduan Perbelanjaan Darurat (AP 55) dan Perolehan Darurat (173.2).

"Terdapat 182 syarikat pembekal dilantik oleh kerajaan untuk perolehan darurat. Setakat ini, dari segi PPE, KKM berjaya menyediakan simpanan stok untuk digunakan dalam masa tiga bulan dan ini akan diteruskan mengikut kehendak semasa," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) yang ingin tahu prosedur digunakan dalam sesuatu proses perolehan yang dilaksanakan KKM ketika pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 2:19 PM