Maiamalina Mohamed Amin


"JANGAN 'hijack' mikrofon. Biarlah ada adab," tegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau menegur tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang dianggap kurang sopan apabila menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk mencelah perbahasan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) menjunjung kasih titah diraja, hari ini dan tercetusnya perdebatan.

RSN Rayer menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu kenyataan sangkaan jahat untuk menempelak Salim yang sebelum itu membuat kenyataan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual aset negara.

Salim kemudian menjawab bahawa beliau merujuk isu penjualan aset Tabung Haji, namun RSN Rayer tidak berpuas hati dan berdebat hingga keadaan jadi hangat.

Azalina: Duduk Yang Berhormat (YB) Jelutong, ini 'floor' (giliran) Jempol, apabila beliau jawab YB duduk. Kalau dua-dua berdiri macam mana saya nak fokus.

RSN Rayer: Adakah Speaker akan membenarkan beliau meneruskan kenyataan begini.

Azalina: Di bawah Peraturan Mesyuarat 35 (5) anggota dewan perlu membenarkan Speaker membuat keputusan sama ada membenarkan anggota berdiri bertanya soalan atau tidak. Jangan hijack mikrofon. Saya tahu kamu peguam terhormat tetapi tolong hormat. Saya belum habis bercakap pun kamu sudah menyampuk. Jika kamu di mahkamah, hakim akan memasukkan kamu ke penjara kerana 'contempt' (menghina).

RSN Rayer: Speaker, hakim tidak akan memasukkan orang ke penjara sebarangan. Kenapa marah saya? Jangan emosi Speaker.

Azalina: Awak jangan mengajar saya, duduk YB. Daripada tadi ketika saya bertugas, banyak (ramai) pembangkang dah berbahas, banyak juga tuduhan dilemparkan. Tak apalah, kata demokrasi. Biarlah mereka bercakap. YB duduk. Jangan 'hijack the floor', jangan 'hijack the microfon' (mencelah). Tentulah saya marah kerana saya juga manusia.

RSN Rayer kemudian akur dan Salim meneruskan ucapannya dalam baki masa beberapa minit.

AZALINA (bawah, kanan) menegur tindakan RSN Rayer (atas, kiri) di Dewan Rakyat.
AZALINA (bawah, kanan) menegur tindakan RSN Rayer (atas, kiri) di Dewan Rakyat.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 6:54 PM