GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


LELAKI dipercayai kurang siuman ditembak mati selepas cuba menyerang polis di Jalan Kampung Indumadi, di Beaufort, semalam.

Dalam kejadian 7.26 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan bertindak menetak ibu kandungnya sendiri dan bapa saudaranya sehingga cedera menggunakan parang.

Menurut sumber, suspek ditembak mati oleh anggota polis yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek terus mengambil parang sebelum bertindak menyerang orang ramai dan polis.

"Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri menyebabkan suspek rebah.

"Suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut sumber, dalam kejadian sebelum itu, suspek dipercayai menetak ibunya yang berusia 60 tahun dan menyebabkan mangsa cedera di muka dan kepala.

Katanya, suspek turut menetak bapa saudara suspek yang berusia 55 tahun.

Menurutnya, mereka dihantar ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Ahli keluarganya mendakwa suspek menjadi agresif dan berang kerana sebelum ini menghisap gam dan mengambil syabu.

"Suspek juga pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk menerima rawatan mental sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 9:56 AM