Kereta yang dipandu lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk ditahan polis di Rembia, Melaka pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Kereta yang dipandu lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk ditahan polis di Rembia, Melaka pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Amir Mamat

LELAKI ditahan polis selepas memandu sebuah kereta secara melulu dipercayai dalam keadaan mabuk dan melarikan dari sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Melaka Sentral awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lelaki berusia 42 tahun berkenaan sebelum itu didapati melarikan diri dengan memecut kenderaan dipandunya ketika tiba di SJR Jalan Melaka Sentral pada 12.30 tengah malam.

Menurutnya, beberapa anggota polis pada awalnya melihat sebuah kereta yang datang dari arah lampu isyarat sebuah pasar raya menuju ke lampu isyarat Melaka Sentral melarikan diri dari SJR.

"Anggota polis kemudiannya mengekori kenderaan suspek yang terus memandu secara melulu dan berbahaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan menuju ke arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke Cheng.

Katanya, ketika di Lebuh AMJ Paya Rumput, suspek merempuh bahagian belakang sebuah kereta lain dan juga melanggar seorang anggota polis.

"Suspek kemudiannya terus memecut kenderaannya menuju ke Batu 9 1/2 Rembia sebelum ditahan polis selepas mengejarnya sejauh kira-kira 15 kilometer.

"Lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah sebelum dirujuk ke Hospital Besar Melaka untuk diambil sampel darah bagi ujian kandungan alkohol dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Menurutnya, anggota polis yang dilanggarnya pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 7:46 PM