FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang pertimbang bagi meningkatkan sesi rawatan kesihatan mental terutama dalam kalangan pelajar sekolah susulan trend perubahan tingkah laku golongan berkenaan dilihat merisaukan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, berdasarkan kajian Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan bagi tahun 2017 mendapati satu daripada lima remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami gejala kemurungan, dua daripada lima remaja mengalami keresahan manakala satu daripada 10 mengalami stress.

Katanya, yang merisaukan, kajian sama juga mendapati terdapat trend peningkatan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja iaitu peningkatan idea bunuh diri daripada 7.9 peratus pada tahun 2012 kepada 10 peratus pada tahun 2017.

"Kita bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah memikirkan bagaimana setiap guru kaunselor di sekolah boleh mengadaptasi norma baharu dan pada masa sama memberikan penjelasan mahupun kaunseling kepada pelajar selain mendapatkan rawatan atau panduan di pusat kesihatan disediakan pakar perundingan kesihatan awam misalannya.

"Itu perkara yang perlu dilihat sementara kita ada masa untuk laksanakan kerana mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Januari tahun depan berikutan mahu habiskan silibus.

"Mungkin semua sekolah akan adakan satu exercise (latihan) atau kajian terhadap pelajar di sekolah masing-masing untuk melihat peratusan sebenar dan kita perlukan kerjasama KPM untuk keluarkan data di peringkat sekolah," katanya pada sidang media selepas program Pembudayaan Norma Baharu dan Let's Talk Minda Sihat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan kesihatan mental menerusi klinik kesihatan dan hospital kerajaan termasuk bantuan talian sokongan psikososial.

Sementara itu, pada program berkenaan, katanya, sehingga kini, sebanyak 2,440 sekolah menengah sudah melaksanakan Program Minda Sihat meliputi saringan dan intervensi menggunakan Modul Minda Sihat (KPM) dan Modul Kesihatan Mental Remaja (KKM), sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:37 PM