Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin  pada sidang media selepas perasmian Perpustakaan Pei You di Dewan Orang Ramai,  Kg. Baru Salak Selatan. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas perasmian Perpustakaan Pei You di Dewan Orang Ramai, Kg. Baru Salak Selatan. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Raja Noraina Raja Rahim


KERAJAAN dalam proses meneliti dan persediaan untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pusat hiburan, kelab malam dan bar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, selepas ada SOP yang jelas, setiap pengusaha premis berkenaan mesti membuat permohonan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi.

"Mungkin susah untuk kita kawal pusat hiburan maka kita perlu teliti daripada segi SOP dan penguatkuasaannya.

"Sekiranya sudah siap SOP itu nanti, setiap pengusaha harus membuat permohonan kepada PBT di kawasan masing-masing untuk semakan bagi memastikan mereka mengikut prosedur dengan ketat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti Pei You dan Program Kesedaran Cegah Kebakaran di Kampung Baru Salak Selatan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai tindakan akan diambil terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, Petaling Jaya, yang melanggar melanggar peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Zuraida berkata, tindakan boleh diambil PBT.

Katanya, sekiranya premis itu beroperasi secara haram maka pengusaha dan pengunjung boleh dikenakan kompaun.

Harian Metro semalam melaporkan, seramai 310 pengunjung pusat hiburan berkenaan dikompaun selepas melanggar peraturan pelaksanaan PKPP kerana berkumpul.

Dalam serbuan jam 11 malam Jumaat, seramai 200 lelaki dan 110 wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan sebelum dikompaun atas kesalahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 1:25 PM