PENGERUSI Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shaidan Kassim. FOTO ASYRAF HAMZAH
PENGERUSI Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr Shaidan Kassim. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


MAJLIS Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) menggesa polis mengambil tindakan terhadap pelanggaran hak asasi yang dilakukan pengintip di kalangan orang awam termasuk memasang alat rakaman.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, hanya pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja boleh bertindak sedemikian.

Shahidan (BN-Arau) berkata, hak peribadi seperti rakaman juga tidak boleh diketengahkan kepada umum kecuali di mahkamah.

"Bolehkah hantar spy (pengintip) untuk mengintip? Ataupun orang dalaman mengintip dan menyiarkan kepada orang ramai. Bolehkah begitu?

"Kalau kita kata boleh, nanti negara ini akan timbul masalah terlampau banyak spy yang berlegar di kalangan rakyat. Ia akan menimbulkan keluh-kesah.

"Hak peribadi seseorang itu kena dipertahankan. Kita tidak mahu menjadi terlampau ramai 'pencuri'. Orang yang mengintip orang lain itu adalah pencuri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Parlimen, hari ini sebagai reaksi terhadap penafian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bahawa amalan membenarkan Ahli Parlimen memainkan bahan audio di dalam Dewan Rakyat pernah berlaku pada 2007.

Semalam, semasa perbahasan titah diraja, Ramkarpal dalam usahanya untuk memainkan suatu 'audio' di dalam Dewan Rakyat mengatakan, amalan membenarkan sesuatu bahan audio dimainkan itu pernah berlaku sebelum ini.

Ramkarpal mendakwa ia pernah dilakukan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor (mendiang Karpal Singh) yang memainkan video atau audio berkaitan dakwaan rasuah bekas Ketua Hakim Negara di dalam Dewan.

Ketika perbahasan itu, Ramkarpal membuat kenyataan yang berbunyi: "Pernah berlaku pada masa lalu, dalam kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang didakwa melakukan rasuah kepada pegawai mahkamah tertentu di Sarawak.

"Jika tidak silap, saya percaya ia berlaku sekitar 2007 dengan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor juga melakukan perkara sama, iaitu memainkan video atau audio rakaman di Parlimen untuk tujuan memaklumkan kepada dewan, apa yang dinyatakan.

"Kerana ia ada dalam ucapan saya dan adalah sebahagian daripada apa yang saya ingin nyatakan dalam perbahasan saya," katanya.

Takiyuddin menegaskan dakwaan Ramkarpal bahawa Ahli Parlimen memainkan bahan audio di dalam Dewan Rakyat pernah berlaku pada 2007 adalah tidak benar dan tidak berasas.

Menurutnya, semakan dalam rekod Parlimen menunjukkan tidak ada perkara sebagaimana dinyatakan Ahli Parlimen DAP itu.

"Dengan ini ditegaskan bahawa dakwaan YB Bukit Gelugor adalah tidak berasas dan satu perbuatan mengelirukan Dewan, yang juga satu kesalahan di bawah Peraturan 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan meminta penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang membabitkan Tabung Haji disegerakan sebab ia adalah hak pendeposit orang Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 5:28 PM