Omar Ahmad

KEMBAR tiga tahun empat antara murid sekolah yang teruja memulakan semula sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling 3 di Johor Bahru, hari ini.

Ia selepas mereka tidak bersekolah hampir empat bulan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan penularan Covid-19.

Sharifah Raniya Azzahra Syed Muhammad Ridza , Syed Muhammad Raiyan dan Syarifah Raiyna Azzahra, masing-masing 10 tahun, bangun seawal 5.30 pagi ini.

"Peralatan sekolah seperti buku semua kami sudah sediakan malam tadi.

"Kami rasa seronok serta teruja hendak berjumpa cikgu dan kawan sebab sudah lama tidak bersekolah.

"Ummi selalu pesan supaya jangan salam kawan, jangan kongsi makanan, jaga jarak dalam kelas, pakai pelitup mulut dan sentiasa cuci tangan lebih-lebih lagi selepas ke tandas", katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Permata di Johor Bahru.

Ibu kepada kembar tiga yang juga kakitangan awam, Norlinda Md Johari, 39 berkata, memang timbul rasa kegusaran dan bimbang dengan pematuhan anak-anaknya termasuk Syarifah Raisha Azzahra, 6.

Namun, dia yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Memang risau tapi saya akur kerana mereka juga perlu menuntut ilmu. Malah guru juga sudah membuat persiapan termasuk mengambil tempahan makanan sehari awal bagi pelajar kerana mereka perlu makan di dalam kelas tanpa keluar ke kantin.

"Sekolah anak saya juga menjalankan persekolahan satu sesi dengan penambahan kelas bagi membuat penjarakan sosial," katanya.

NORLINDA menghantar tiga anak kembarnya Sharifah Raniya Azzahra, Syed Muhammad Raiyan dan Syarifah Raiyna Azzahra ke SK Taman Perling 3, selepas kerajaan membenarkan pelajar tahun 1 hingga tahun 4 bersekolah semula. FOTO Mohd Yusni Ariffin
NORLINDA menghantar tiga anak kembarnya Sharifah Raniya Azzahra, Syed Muhammad Raiyan dan Syarifah Raiyna Azzahra ke SK Taman Perling 3, selepas kerajaan membenarkan pelajar tahun 1 hingga tahun 4 bersekolah semula. FOTO Mohd Yusni Ariffin

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 10:57 AM