NOR Hisham (duduk) melawat dua kesan mendapan tanah di Taman U-Thant, Kuala Lumpur, lewat petang semalam. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
NOR Hisham (duduk) melawat dua kesan mendapan tanah di Taman U-Thant, Kuala Lumpur, lewat petang semalam. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
BERNAMA

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kerja pembaikan dua kawasan tanah mendap di Residensi 16, Jalan Taman U Thant, semalam akan dilaksanakan dengan segera.

Antara kerja pembaikan akan dilakukan ialah penyelenggaraan longkang dan kerja bersesuaian bagi memastikan masalah di kawasan itu diatasi sepenuhnya dan tidak berulang, katanya selepas meninjau lokasi mendapan itu, hari ini.

Semalam, media melaporkan laluan ke Residensi 16, Jalan Taman U Thant ditutup kepada orang awam susulan kejadian jalan mendap dan tembok runtuh dilaporkan pada 3.30 petang sebelum disusuli satu lagi kejadian tanah mendap dipercayai berlaku pada 5 petang dan terletak kurang 30 meter dari lokasi mendapan pertama.

Beliau berkata, kedua-dua kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip pecah, namun siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan ada punca lain menyebabkan kejadian itu.

"Saya dimaklumkan penduduk bahawa kawasan ini kerap dilanda banjir kilat sejak 2014, namun tidak melibatkan insiden teruk sehinggalah kejadian mendapan semalam.

"Beberapa pegawai dari Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditempatkan di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

"Setakat ini, kawasan itu dalam keadaan stabil tetapi kita masih menunggu laporan siasatan sebelum membuat keputusan sama ada perlu memindahkan penghuni atau tidak," katanya.

Nor Hisham berkata, kos pembaikan akan ditanggung DBKL sementara IKRAM akan terbabit membuat kajian teknikal di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:14 PM