BAHARUDDIN (kanan) menjawab soalan media pada sidang media Imigresen Johor gempur sendiket pemalsuan dokumen kesihatan COVID-19. FOTO Mohd Yusni Ariffin
BAHARUDDIN (kanan) menjawab soalan media pada sidang media Imigresen Johor gempur sendiket pemalsuan dokumen kesihatan COVID-19. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohamed Farid Noh


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Johor menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat anggota atau pegawainya yang bersekongkol dengan sindiket terancang menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati).

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi terhadap tindakan mana-mana anggota serta pegawainya yang melakukan kesalahan serius yang mampu mengancam keselamatan negara.

"Penahanan anggota dan pegawai Imigresen Johor berikutan disyaki terbabit dalam sindiket terancang menyeludup Pati adalah dalam tindakan PDRM.

"Kita serah pada kebijaksanaan PDRM menggunakan apa jua kaedah mereka dalam menyelesaikan isu terbabit.

"Jika selepas ini masih ada lagi anggota atau pegawai Imigresen Johor yang dikesan terbabit dalam kesalahan berkenaan, kita serahkan pada PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, Johor Bahru, hari ini.

Khamis lalu, dua pegawai Jabatan Imigresen Johor termasuk seorang Penolong Pengarah Imigresen wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas lapan pertuduhan menyeludup Pati, pada Jun lalu.

Pegawai kanan berkenaan ditahan polis pada 30 Jun lalu.

Pada 23 Jun lalu pula, polis Johor dilaporkan menahan tiga lagi pegawai Imigresen Johor menerusi dua serbuan berasingan kerana disyaki bersekongkol dalam sindiket penyeludupan migran.

Tiga pegawai Imigresen berkenaan dilaporkan bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang ditahan kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran ke Batam, Indonesia sejak Mac lalu.

Mengulas lanjut, Baharuddin berkata, semua anggota dan pegawai Imigresen tertakluk kepada tindakan tatatertib jika melakukan kesalahan.

"Seperti agensi awam lain, kita juga mempunyai peraturan khas yang membolehkan setiap anggota dan pegawai yang melakukan kesalahan disiasat menerusi siasatan dalaman selain tindakan agensi penguatkuasaan termasuk PDRM, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:44 PM