Hafidzul Hilmi Mohd Noor

MASALAH kekurangan dana membelenggu 45 pusat pemulihan dadah persendirian bagi meneruskan rawatan penagih.

Presiden Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (Masac), Datuk Izhar Abu Talib berkata, semua 45 pusat pemulihan berkenaan adalah ahli gabungan Masac.

Katanya, kebanyakan pusat pemulihan dadah persendirian itu menampung kira-kira 1,300 penagih pada satu-satu masa dengan kadar yuran yang terlalu rendah.

"Jika dikira kos bagi seorang individu pusat pemulihan persendirian memerlukan RM43 sehari," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Bengkel Permasalahan Penggunaan ATS di Hotel Sani, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin yang menyumbang RM10,000 kepada Mosac untuk menanggung kos-kos pentadbiran badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

IZHAR Abu Talib (tiga dari kiri) di Majlis Penutupan Bengkel Permasalahan Penggunaan Ampethemine Type Stimulant (ATS) di Hotel Sani. FOTO FATHIL ASRI.
IZHAR Abu Talib (tiga dari kiri) di Majlis Penutupan Bengkel Permasalahan Penggunaan Ampethemine Type Stimulant (ATS) di Hotel Sani. FOTO FATHIL ASRI.

Mengulas lanjut, Izhar berkata, penggunaan penyalahgunaan dadah di negara ini masih dalam kawalan.

"Kalau kita lihat peratusan itu selari dengan peningkatan jumlah penduduk dan masalah strata masyarakat.

"Baik dari segi pengedaran dadah, penyalahgunaan serta penagihan ia adalah selari dengan keadaan semasa," katanya.

Beliau turut mengulas perubahan pentadbiran di peringkat Putrajaya mempengaruhi usaha untuk menghentikan pelabelan penagih dadah sebagai penjenayah.

Katanya, pihaknya yakin usaha untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan lagi kesalahan jenayah akan tetap diteruskan kerajaan Perikatan Nasional, dalam usaha mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 5:11 PM