Radzi Md Jidin (dua dari kanan) meninjau keadaan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu semasa melakukan lawatan kerjanya di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Radzi Md Jidin (dua dari kanan) meninjau keadaan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu semasa melakukan lawatan kerjanya di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Abdul Rahemang Taiming


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan projek pembangunan dan naik taraf sekolah daif di Sabah dapat dilaksanakan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan warga sekolah disamping suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.

"Semua perkara lain, kita ketepikan kerana apa yang penting kita (kerajaan) mahu pastikan pelajar dapat ke sekolah selain proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dengan fasiliti lengkap," katanya ketika diminta mengulas mengenai kerjasama KPM dengan kerajaan Sabah membabitkan aspek pendidikan, terutama projek naik taraf sekolah daif di Sabah.

Beliau berkata, kementeriannya akan meneliti kaedah terbaik bagi memastikan keadaan semua sekolah di setiap negeri selamat.

Radzi yang dalam lawatan kerjanya di Tawau hari ini, turut meluangkan masa meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah Dr Mistirine Radin.

Terdahulu dalam sesi Persidangan Parlimen, kelmarin, beliau menjelaskan lebih 400 sekolah di Sabah berada pada skor enam dan tujuh iaitu tidak selamat digunakan dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan mengkaji semula penyelarasan elaun antara guru Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Perkara ini (perbezaan elaun) pertama kali saya dengar, dan saya akan kaji semula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 6:36 PM