GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

SEBANYAK 77 peratus atau 223 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual sejak Selasa, pulih sepenuhnya setakat 9 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, kini hanya 67 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

"Peratusan pemulihan di Kuala Lumpur 100 peratus pulih diikuti Selangor iaitu wilayah Kuala Langat dan Gombak juga 100 peratus, manakala wilayah Klang/Shah Alam (62 peratus) dan Petaling (89 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, khidmat lori tangki digerakkan ke kawasan yang masih terjejas, sementara sebanyak lapan pusat khidmat setempat (PKS) dan enam pili air awam disediakan mulai hari ini hingga esok.

Pelanggan turut dinasihatkan mematuhi panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang ditetapkan semasa mengambil bekalan air di PKS atau pili air awam, termasuk memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Pada 6 Julai, Air Selangor memaklumkan 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Lumpur, akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 14 hingga 17 Julai ini berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 1:14 PM