Audrey Dermawan


PENUNTUT kolej dijangka menghadapi tuduhan membunuh bayinya yang dicampak dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Air Itam di Georgetown pada 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penuntut berusia 18 tahun itu akan didakwa di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana masih dirawat.

"Kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan sudah menerima arahan bagi meneruskan pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, suspek lelaki itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Dia akan dijadikan saksi pendakwaan," katanya lagi.

Dalam kejadian itu, wanita terbabit mendakwa terjaga pada 6 pagi kerana sakit perut sebelum ke tandas namun ketika hendak membuang air besar, dia tiba-tiba melahirkan bayi perempuan itu kira-kira 7 pagi.

Selepas mendengar tangisan bayi itu, wanita berkenaan membungkus anaknya dengan baju T dan mencampakkan bayi terbabit dari tingkap biliknya sebelum ditemui orang awam di tingkat empat kawasan parkir.

Dia dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun turut mengaku melakukan hubungan seks dan mereka ditahan bagi membantu siasatan mengenai kejadian itu.

Berita berkaitan

Campak bayi dari tingkat 13: Pelajar kolej, kekasih direman

Campak bayi dari tingkat 13: Pelajar kolej dan teman lelaki ditahan [METROTV]

Ibu zalim campak bayi dari tingkat 13 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:30 PM