ALLAHYARHAM Rosle Abdul Aziz.
ALLAHYARHAM Rosle Abdul Aziz.
BERNAMA

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) akan membantu waris guru yang maut selepas terjatuh daripada bangunan Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan semalam.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata Allahyarham Rosli Abdul Aziz merupakan ahli NUTP yang menyertai skim 'Diamond Accident Protector' NUTP, yang memberi manfaat RM113,000 kepada keluarganya.

Menurutnya, NUTP juga akan menghulur bantuan melalui dana tabung kebajikan dan khairat kematian.

"Pengorbanan Allahyarham adalah kemuncak (pengorbanan) seorang pendidik terhadap anak didiknya. Allahyarham hanya memikirkan yang terbaik untuk keselamatan dan keselesaan anak didik sehingga tergadai nyawanya.

"Ini adalah suatu perkara yang amat murni dan perlu disanjungi semua pihak. NUTP amat terharu dengan pengorbanan Allahyarham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tan menasihatkan semua guru supaya sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas, dan mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta arahan Kementerian Pendidikan.

Rosle Abdul Aziz, 54, maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah pada 12.30 tengah hari semalam ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar sempena pembukaan semula sekolah hari ini.

Kejadian berlaku apabila Allahyarham yang sedang memijak kerusi plastik tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh dari balkoni dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.

Berita berkaitan:

  • 'KPM sedia bincang SOP penyelenggaraan bangunan sekolah
  • 'Semoga rohnya dicucuri rahmat' - Dr Mohd Radzi
  • Jasa Cikgu Rosle ke akhir hayat [METROTV]
  • Guru maut ketika persiapan buka sekolah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:12 PM