GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan platform e-dagang, Shopee buat julung kalinya bekerjasama memasarkan durian secara dalam talian atau 'Durian E-Fiesta' bermula esok sehingga 19 Julai ini.

Ketua Pengarah Fama Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, penggemar durian boleh memilih pelbagai jenis durian seperti Musang King, Udang Merah, D24, Hor Lor, kampung dan sebagainya menerusi pembelian dalam talian yang pertama di Malaysia itu.

Sebagai dorongan untuk transformasi perniagaan, Fama dan Shopee akan memberi sokongan kepada peniaga durian melalui pembiayaan baucar potongan harga RM5 dan RM20 dengan perbelanjaan minimum yang ditetapkan serta pelbagai lagi tawaran menarik.

"Selain itu, pengguna juga dapat menikmati Musang King di jualan kilat 'Shocking Sale' pada harga RM10 saja ketika berlangsungnya Durian E-Fiesta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, mengambil kira pengguna yang mungkin kurang menggemari buah itu, Durian E-Fiesta turut memasarkan buah-buahan tempatan yang lain seperti manggis, mangga, nanas dan banyak lagi pada kempen berkenaan.

Edisi pertama kempen ini terhad di Lembah Klang saja bagi menjamin kesegaran buah-buahan dan penghantaran akan dilakukan pada hari berikutnya selepas pesanan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 11:41 PM