DR Masliza (kiri) dan Dr Phaik. FOTO Mahidol Oxford Tropical Medicine Research Unit (MORU)
DR Masliza (kiri) dan Dr Phaik. FOTO Mahidol Oxford Tropical Medicine Research Unit (MORU)
Redzuan Muharam

DR Masliza Mahmod mengucapkan tahniah kepada Dr Phaik Yeong Cheah atas kejayaannya menjadi Profesor Madya di Jabatan Bioetik dan Perhubungan di Universiti Oxford sejak 2016 lalu.

Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, United Kingdom itu menzahirkan ucapannya menerusi hantarannya di Facebook, semalam.

Beliau turut meminta pengikutnya untuk mengucapkan tahniah kepada Dr Phaik.

"Menarik perhatian saya dengan kejayaan Dr Phaik Yeong Cheah yang menjadi Profesor Madya di Jabatan Bioetik dan Perhubungan di Universiti Oxford sejak 2016.

"Marilah kita mengucapkan tahniah kepada beliau kerana menjadi wanita pertama meraih pencapaian itu di Universiti Oxford.

"Sebagai wanita Malaysia, kami berdua akan terus berusaha meletakkan nama negara di dalam peta (dunia). Tahniah kepadanya (Dr Phaik)," katanya.

Dr Phaik memulakan kerjayanya dalam bidang klinikal pada 1998 selepas memulakan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) prostatitis kronik (kelanjar prostat) di Pulau Pinang.

Kini, beliau menetap di Bangkok, Thailand serta mengetuai Jabatan Bioetik dan Perhubungan universiti berkenaan yang baru ditubuhkan.

Jabatan berkenaan mengendalikan isu etika menerusi kajian dan berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat terdiri kanak-kanak, ibu mengandung, warga asing dan golongan kurang bernasib baik serta sukar dijejaki.

Sebelum berpindah ke Bangkok, Dr Phaik bertugas di pejabat Ujian Klinikal dan Kajian di Universiti Oxford.

Antara skop tugasannya adalah menasihat, mengulas dan meluluskan kajian protokol.

Selain itu, Dr Phaik turut bertanggungjawab menyediakan kajian etika dan amalan klinikal baik untuk penyelidik di samping memantau serta mengaudit ujian klinikal bagi pihak universiti.

UCAPAN tahniah kepada Dr Phaik menerusi hantarannya di Facebook. FOTO Facebook Dr Masliza Mahmod
UCAPAN tahniah kepada Dr Phaik menerusi hantarannya di Facebook. FOTO Facebook Dr Masliza Mahmod

Sebelum ini, media melaporkan, Dr Masliza, 47, melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dinaikkan pangkat sebagai profesor madya bagi perubatan kardiovaskular yang juga menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baru untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Berita berkaitan

Agong ucap tahniah kepada Dr Masliza

Tahniah Dr Masliza

Dr Masliza lakar sejarah

Hebatkan Saintis Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:32 PM