MOHD Rofik Mohd Yusof. FOTO MOHD AMIN JALIL
MOHD Rofik Mohd Yusof. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


PENGUSAHA bas sekolah di seluruh negara sudah bersedia untuk membantu melancarkan sesi persekolahan bagi kemasukan semula murid tahun lima dan enam serta pelajar tingkatan satu hingga empat, yang bermula esok.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof, berkata, masalah perkhidmatan pengangkutan bas sekolah tidak akan berlaku pada sesi persekolahan esok.

Katanya, walaupun terdapat segelintir pengusaha yang tidak dapat meneruskan perkhidmatan itu buat sementara waktu atas sebab tertentu, namun secara keseluruhannya hampir semua pengusaha bas sekolah sudah bersedia.

"Kita akan pastikan urusan penghantaran dan pengambilan murid dan pelajar sekolah berjalan lancar.

"Pengusaha bas sekolah sudah berurusan dengan ibu bapa dan penjaga murid masing-masing dan saya yakin ianya tidak akan menghadapi masalah bagi pergerakan mereka ke sekolah," katanya di Seremban, hari ini.

Dalam laporan media baru-baru ini, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4 akan dibuka pada 15 Julai ini manakala bagi murid Tahun 1 hingga 4 pula, sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) berkata, pihaknya juga berpuas hati apabila ibu bapa akur dengan langkah sesetengah pengusaha bas sekolah yang mengenakan caj tambahan.

"Ia (caj tambahan) adalah persetujuan bersama antara kedua-dua pihak dan perkara itu tidak berbangkit.

"Setakat ini tiada aduan mengenainya dan persatuan berpuas hati dan apa yang penting pengerakan murid berjalan lancar dan ibu bapa berasa selesa dengan perkhidmatan disediakan pengusaha bas sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:20 PM