ROSOL bersama Ismail (tiga kanan) dan Norhizam Hassan (kanan) ketika tinjauan di Pasar Awam MBMB Bachang. FOTO Amir Mamat
ROSOL bersama Ismail (tiga kanan) dan Norhizam Hassan (kanan) ketika tinjauan di Pasar Awam MBMB Bachang. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan harga ayam tidak melebihi RM9 sekilogram menjelang sambutan Aidiladha.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu susulan persepakatan yang dicapai antara kerajaan dengan wakil penternak ayam menerusi perbincangan khas yang diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, jaminan berkenaan sekali gus memberi gambaran bahawa isu harga ayam yang sering timbul menjelang musim perayaan tidak akan berlaku pada sambutan hari raya korban tahun ini.

"Setakat awal bulan ini, KPDNHEP di seluruh negara mendapati harga ayam sudah mula turun sehingga RM8.20 sekilogram, sebagai contoh di Terengganu, harga ayam pernah meningkat mencecah RM9.60 sekilogram dan menjelang Ogos harga akan turun kerana anak ayam sudah mula boleh dijual sekitar usia 35 hari dan bukannya 45 hari.

"Sekarang harga ayam sekitar RM8 dan kita nampak ada kebenaran dengan apa yang dijanjikan oleh golongan peniaga. Saya jangka harga ayam akan turun lagi menjelang Aidiladha ini," katanya selepas program tinjauan mesra di Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, Melaka, hari ini.

Hadir sama, EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman; EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar.

Rosol berkata, kerajaan turut memberi jaminan barangan mentah mencukupi menjelang sambutan hari raya korban dan menasihatkan pengguna mengambil langkah penjimatan dalam setiap urusan berbelanja.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP Melaka terus menjalankan aktiviti pemeriksaan di seluruh negeri bagi memastikan barang keperluan asas pengguna sentiasa mencukupi semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata, sejak 1 Januari hingga Jumaat lalu, 10,705 premis perniagaan diperiksa.

Selain itu, katanya, KPDNHEP negeri juga menerima 511 aduan rasmi yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

"Sehingga semalam, 162 kes diselesaikan membabitkan nilai rampasan berjumlah RM499,060.17. Selain itu, sejumlah 74 notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat perihal harga yang disyaki berlaku pencatutan.

"KPDNHEP Melaka juga mengeluarkan kompaun membabitkan nilai RM42,200 selain RM124,000 denda terhadap individu dan peniaga yang didapati bersalah melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:34 PM