DR MASLIZA MAHMOD
DR MASLIZA MAHMOD
Samadi Ahmad


KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Masliza Mahmod atas pelantikan sebagai Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, United Kingdom.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, beliau percaya pelantikan itu adalah hasil kerja keras, ketekunan dan kesungguhan Dr Masliza melakukan penyelidikan dalam bidang kardiovaskular.

Beliau berkata, Dr Masliza yang mendapat ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Otago, New Zealand sebelum ini memperoleh ijazah Sarjana Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seterusnya melanjutkan pelajaran dan menjadi pensyarah di Universiti Oxford.

"Pencapaian anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini harus menjadi inspirasi kepada pelajar dan pensyarah di institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk terus mengadakan penyelidikan dan kajian sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Saya mendoakan semoga beliau terus berjaya dan menyumbang lebih banyak penyelidikan besar kepada dunia perubatan," katanya melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Dr Masliza, 47, melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dinaikkan pangkat sebagai profesor madya bagi perubatan kardiovaskular yang juga menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baru untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:24 PM