GAMBAR kuang gunung dirakam kamera dipasang dalam belantara Malaysia.
GAMBAR kuang gunung dirakam kamera dipasang dalam belantara Malaysia.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya: Kali terakhir dikesan wujud dalam hutan Malaysia sekitar tahun 90-an. Namun burung kuang gunung atau digelar burung kayangan dikesan masih wujud di pergunungan Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Selaku pemegang rekod dunia kerana memiliki bulu ekor terpanjang, spesies burung dilindungi ini dianggap antara khazanah fauna paling berharga negara.

Penemuan terbaru spesies burung itu didedahkan hasil kajian terbaru diterbitkan dalam jurnal ornitologi Forktail membabitkan penyelidikan oleh Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Rimba, Universiti Sunway, BirdLife International dan Viet Nature Conservation Centre bagi meninjau populasi kuang gunung di Malaysia.

Pengarah Pertubuhan Pelindung, Liang Song Horn berkata, terdapat dua spesies burung kuang yang turut digelar pheonix didapati wujud di hutan Semenanjung Malaysia ketika ini.

Menurutnya, burung kuang raya atau Great Argus Pheasant adalah spesies paling dikenali antara keduanya dan mempunyai bunyi panggilan lantang.

"Bagaimanapun, hanya segelintir rakyat Malaysia yang pernah mendengar mengenai spesies kuang gunung atau Crested Argus Pheasant. Spesies ini memegang rekod dunia kerana memiliki bulu ekor terpanjang.

"Ia diklasifikasikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) pada 2018," katanya.

Menurutnya, mereka menggunakan ratusan perangkap kamera bagi mengesan spesies burung ini di Taman Negara dan kawasan pergunungan.

"Tinjauan mengesahkan bahawa burung kuang gunung masih wujud di kawasan yang dahulunya dikenal pasti berdasarkan kajian pada tahun 1990-an.

"Spesies ini buat pertama kalinya ditemui di kawasan mencecah hampir 1,400 meter dari aras laut. Penemuan ini menunjukkan perangkap kamera dipasang bagi pemantauan mamalia besar membantu mengumpul data penting berkaitan burung darat yang kebanyakannya masih kurang diberi perhatian oleh saintis," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mengakui spesies burung itu turut menghadapi ancaman jerat dipasang pemburu haram untuk mamalia besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 12:19 PM