Mohd Rafi Mamat


"TERIMA kasih sudi membantu membaiki rumah saya yang musnah dilanda ribut minggu lalu," kata ibu tunggal, Wan Salbiah Wan Mahmod, 57.

Dia yang menetap di Felda Jengka 21 berkata, kejadian angin kencang selama 15 minit petang 29 Jun lalu memusnahkan keseluruhan atap bahagian dapur rumahnya, turut diterbangkan angin beberapa atap bahagian ruang tamu rumah.

Katanya, dengan pendapatan sebagai peneroka antara RM150 hingga RM600 sebulan tidak mungkin dia mampu membaiki kerosakan rumahnya, tambahan pula dua anak yang bersekolah turut memerlukan perbelanjaan.

"Ini kali ketiga rumah saya rosak dilanda angin kencang, namun kejadian kali ini yang terburuk hingga memaksa dia sekeluarga menumpang tidur rumah jiran apabila air hujan bertakung dalam bilik.

"Ini ujian yang amat berat buat saya sekeluarga, namun saya bersyukur dan terima kasih pada pihak yang tampil membantu membaiki kerosakan yang berlaku," katanya ditemui pada program Projek Jiwa Murni di Maran, semalam.

Seramai 30 anggota 4 Briged (Mekanize) Kem Batu 10, Kuantan mengadakan gotong-royong membaiki 21 rumah peneroka mangsa ribut Felda Jengka 21 yang berlaku pada 29 Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Staf Tadbir dan Logistik Markas 4 Briged (Mekanize), Leftenan Kolonel Anwar Jafrizal Ahmad berkata, program bersepadu itu turut mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran dan Felda.

Katanya, usaha membaiki rumah yang rosak dijangka mengambil masa selama seminggu bergantung kepada keadaan cuaca serta bekalan bahan binaan yang diperlukan.

"Seramai 30 anggota yang terbabit pada program program jiwa murni kali ini terdiri daripada anggota Skuadron 11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Batalion ke 7 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Mekanize termasuk seorang pegawai.

"Usaha membaiki rumah peneroka yang kebanyakan rosak di bahagian bumbung perlu dilakukan segera bagi meringankan beban yang ditanggung pihak terbabit," katanya yang turut sama menyertai program berkenaan.

WAN Salbiah tidak dapat menahan sedih apabila rumah yang rosak dibaiki anggota Empat Briged (Mekanize) Kem Batu 10. FOTO Mohd Rafi Mamat
WAN Salbiah tidak dapat menahan sedih apabila rumah yang rosak dibaiki anggota Empat Briged (Mekanize) Kem Batu 10. FOTO Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 2:25 PM