KAKITANGAN JPNP memeriksa balak yang dirampas dalam Operasi Transit di Pusat Simpanan Barangan Rampasan JPNP Kemasul. FOTO Mohd Rafi Mamat
KAKITANGAN JPNP memeriksa balak yang dirampas dalam Operasi Transit di Pusat Simpanan Barangan Rampasan JPNP Kemasul. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


CUBAAN dua pemandu lori memindahkan balak jenis balau secara haram bernilai RM18,000 digagalkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam serbuan di Jalan Kuala Wau dekat Loji Air Kertau, Temerloh, awal pagi semalam.

Serbuan itu dilakukan Unit Penguatkuasa JPNP dalam Operasi Transit hasil risikan selama 10 jam yang bermula jam 10 malam kelmarin.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP, Muhammad Firdaus Abdul Kadir berkata, selain dua lori yang digunakan untuk mengangkut balak itu dirampas, seorang daripada suspek iaitu pemandu lori berusia 30-an berjaya ditahan manakala rakannya meloloskan diri.

"Siasatan awal mendapati lori tiga tan itu digunakan untuk memindahkan balak haram ke kilang papan terletak di Negeri Sembilan. Balak berkenaan dipercayai ditebang secara haram di Hutan Simpan Chini, Pekan," katanya.

Menurutnya, modus operandi digunakan sindiket adalah menggunakan beberapa jalan tikus kawasan kampung bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Sebelum ini mereka (sindiket) menggunakan laluan Lebuhraya Tun Razak Muadzam Shah - Segamat, Johor dan Felda Palong, Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Katanya, antara kawasan panas aktiviti pencerobohan hutan ialah Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah dan Hutan Simpan Chini, Pekan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 10:38 AM