Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


PELAJAR Tingkatan 4 dibenarkan untuk pulang ke asrama bermula 15 Julai ini manakala pelajar tingkatan lain dibenarkan pulang bermula 3 Ogos nanti.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi murid asrama sekolah rendah terutamanya di kawasan pedalaman membabitkan murid Tahun 5 dan Tahun 6 juga dibenarkan pulang ke asrama pada 15 Julai ini.

"Bagaimanapun, ada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk hanya murid sihat sahaja dibenarkan kembali ke asrama serta melakukan saringan kesihatan semasa pendaftaran masuk ke asrama.

"Selain itu, katil murid dijarakkan satu meter antara satu sama lain dan hanya bahagian bawah katil dua tingkat digunakan.

"Tanda penjarakan satu meter untuk murid beratur bagi semua bilik khas bersesuaian dan alat pengimbas suhu badan perlu disediakan di asrama," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, pihak asrama juga perlu menyediakan jadual penggiliran waktu makan makan di dewan kepada murid.

"Bagi pengurusan dewan makan asrama, hanya sajian makanan secara bufet, berhidang secara individu atau berbungkus dibenarkan.

"Sekiranya terdapat murid yang bergejala, pihak pentadbiran perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan memaklumkan ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid.

"Murid yang bergejala juga perlu diletakkan di bilik sakit atau kesihatan dan diasingkan daripada murid sakit yang lain," katanya.

Beliau berkata, garis panduan itu juga akan diguna pakai di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

"Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara rawak di asrama sebagai langkah keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:14 PM