PROFESOR Madya Dr Tay Guan Seng (berdiri, kiri) melihat proses pendaftaran seorang banduan yang mengikuti program Pasca Siswazah Mod Penyelidikan sambil disaksikan, S Tanabal (duduk, kanan) ketika sesi pendaftaran pelajar baharu. FOTO Nur Izzati Mohamad
PROFESOR Madya Dr Tay Guan Seng (berdiri, kiri) melihat proses pendaftaran seorang banduan yang mengikuti program Pasca Siswazah Mod Penyelidikan sambil disaksikan, S Tanabal (duduk, kanan) ketika sesi pendaftaran pelajar baharu. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


IMPIAN memiliki pusat pemulihan sendiri bagi membantu individu yang terjebak penyalahgunaan dadah. Itu antara hasrat seorang banduan yang ditawarkan menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

Epul, 30-an (bukan nama sebenar) ditawarkan mengikuti program Pasca Siswazah Mod Penyelidikan dalam bidang Sarjana Sains Kemasyarakatan (Antropologi/Sosiologi) oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Dia sebelum itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Industri (Kimia) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia akan selesai menjalani hukuman penjara pada akhir tahun hadapan dan mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi membantu kumpulan penagih dadah keluar dari kancah tidak sihat.

"Cukuplah saya silap sekali dalam hidup kerana perbuatan lalu. Saya mengikut nafsu untuk mencari keseronokan hingga memusnahkan kehidupan.

"Kali ini saya mahu bangkit dan kembali kepada masyarakat dengan penuh tanggungjawab untuk memulihkan mereka yang terjebak," katanya ketika ditemui selepas sesi pendaftaran pelajar baharu di Penjara Seberang Perai, Nibong Tebal, Pulau Pinang tadi.

Menurutnya, dia juga berminat untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi selepas mengikuti program Pembimbing Rakan Sebaya di Penjara Kajang, baru- baru ini.

Menceritakan kisah lalu, Epul mengaku mula terjebak dengan dadah ketika belajar di peringkat ijazah selain terpengaruh dengan filem barat memaparkan seorang guru sains mengaut keuntungan lumayan hasil penjualan dad ah.

"Saya akhirnya ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur kerana menghasilkan kek dan biskut ganja. Akibatnya saya dijatuhi hukuman penjara lapan tahun," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Madya Dr Tay Guan Seng, berkata USM tidak memandang latar belakang seseorang individu itu untuk menjadi pelajar mereka sebaliknya tawaran itu diberikan mengikut kepada kelayakan akademik dan mempunyai penyelia yang sesuai.

"Sebelum ini, dua banduan dari penjara ini ditawarkan mengikuti pengajian dan kali ini kita mengalu-alukan lagi banduan yang mahu melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

"USM tidak langsung memandang latar belakang mereka sebaliknya tawaran diberikan berikutan banduan berkenaan memenuhi syarat kelayakan akademik dan mempunyai penyelia yang sesuai," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, S Tanabal, berkata beliau berharap banduan yang melanjutkan pengajian dapat menjadi contoh kepada banduan lain untuk mengubah diri mereka ke arah lebih baik sekali gus membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka berhak diberikan peluang kedua dalam hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 5:25 PM