GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


MERAJUK kerana ibu tidak pulang meraikan upacara 'akil baligh' sempena usianya memasuki 15 tahun, seorang remaja maut selepas terjun dari tingkat 11 kediaman di Pangsapuri Perai Indah, Bukit Mertajam, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima panggilan telefon pada 1.57 tengah hari memaklumkan terdapat mayat remaja perempuan terjatuh di pangsapuri berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak sulung daripada dua beradik dan masih bersekolah di tingkatan tiga.

"Temubual yang dilakukan dengan keluarga mangsa mendapati dia seorang yang sangat sensitif tetapi tidak mempunyai sebarang masalah lain.

"Mangsa sepatutnya menyambut upacara akil baligh namun disebabkan ibunya yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang majlis itu terpaksa dibatalkan dan ia membuat mangsa sedih," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa tinggal bersama ibu serta bapa saudaranya di flat berkenaan memandangkan bapanya bekerja di sebuah hotel dekat sini.

"Ketika kejadian adik perempuan mangsa ternampak kakaknya terjun dari pintu utama," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:41 PM